Wednesday, March 30, 2011

~ Prosedur Pericardial Tapping Kali Ke-2 ~

Assalamualaikum....

Hari ini, Cik Ang menemani ayah di CCU manakala saya ke pejabat menguruskan urusan-urusan kerja yang terbengkalai. Tepat jam 12.30 tengahari, saya tiba di HKL dan sebaik tiba, saya terus menuju ke wad ayah. Namun, saya dimaklumkan bahawa doktor sedang bersiap sedia untuk menjalankan prosedur pericardial tapping kali kedua. Abang juga tiba di HKL tidak lama selepas saya tiba. Saya, Cik Ang dan abang menunggu dengan penuh pengharapan dan doa, agar prosedur kali ini berjalan dengan lancar.

Walaupun letih dan demam, abang tetap setia menunggu sehingga selesai prosedur kali ke-2 ini 

Sesekali saya mencuri masuk ke ruangan di sebalik tabir wad ayah, dengan harapan doktor memberikan berita yang menyenangkan. Lebih kurang jam 1.15, Dr Vina memaklumkan kepada saya bahawa mereka sekali lagi menghadapi kesukaran untuk menembusi kawasan perikardium jantung ayah. Luruh jantung saya tatkala menerima berita tersebut. Ya Allah... Kau permudahkanlah urusan ini Ya Allah....

Beberapa pakar perubatan turut serta menyertai prosedur tersebut. Seorang demi seorang mencuba untuk menembusi kawasan perikardium ayah, namun percubaan mereka tidak membuahkan gagal. Hinggalah percubaan oleh pakar perubatan ke-5 iaitu Dr Melvin. Akhirnya Dr Melvin berjaya menembusi ruangan perikardium ayah dan saya berpeluang melihat betapa banyaknya cecair bercampur darah yang berjaya disalur keluar ke beg plastik yang bersambung dengan tiub. Lega hati kami apabila melihat kejayaan prosedur kali ini. Hampir separuh beg plastik dipenuhi cecair dari ruangan perikardium yang turut bercampur dengan darah.

Selepas selesai luka ayah dicuci dan dibalut, saya, abang dan Cik Ang bertemu dengan ayah. Seperti semalam, ayah sekali lagi memaklumkan bahawa ayah mengalami sakit yang amat sangat tatkala prosedur dijalankan. Namun, selepas seketika, saya menjadi gelisah, apabila melihat tiada cecair yang mengalir keluar. Melihat keadaan tersebut, segera saya berbisik kepada jururawat, dan saya amat bernasib baik kerana Dr Shaiful Azam, doktor yang merawat ayah ketika ayah di Wad 28 datang mengunjungi ayah. Dr Shaiful memaklumkan bahawa hanya 1/10 dari jumlah sebenar kandungan cecair perikardium ayah yang berjaya dikeluarkan dan kini tiada lagi cecair yang dikeluarkan. YA, ALLAH... hebatnya dugaanMu kali ini YA ALLAH....

Lebih kurang jam 2.15 petang, saya kembali ke pejabat untuk mesyuarat yang dijadualkan jam 3.00 petang. Saya kembali ke hospital jam 6.00 petang dan beginilah keadaan ayah ketika itu...




Petang ini, empangan air mata yang telah lama saya tahan, pecah.. Saya tak mampu... Saya tak mampu... Saya tak mampu..

Sekian..

Assalamualaikum..

~ Ayah Menghidapi Pericardial Effusion ~

Assalamualaikum....

Pagi Selasa semalam, saya tiba agak lewat di HKL kira-kira jam 8.00 pagi akibat kesesakan jalan raya. Syukur kepada Allah, saya sempat tiba sebelum pakar perubatan memeriksa ayah. Dr Thomas, pakar perubatan Wad 8 dan juga Dr Davendran, pegawai perubatan siswazah dan juga pelajar tahun akhir program kedoktoran yang bertanggungjawab terhadap kes ayah, memaklumkan bahawa hasil pemeriksaan, ayah menghidapi Pericardial Effusion. Pericardial Effusion merupakan keadaan di mana berlakunya pengumpulan cecair dalam ruangan perikardium, selaput yang membaluti jantung. Disebabkan terdapat ruangan yang terhad di kaviti perikardium, pengumpulan cecair ini boleh membawa kepada peningkatan tekanan dalam ruangan perikardium yang akhirnya menyebabkan kesan negatif terhadap fungsi jantung. Doktor memaklumkan bahawa, punca utama terjadinya keadaan ini adalah kerana kehadiran jisim-jisim kanser yang terdapat di paru-paru kiri ayah dan juga amat dekat dengan kawasan jantung.

Tepat jam 1.00 tengahari, ayah dipindahkan ke CCU, Unit Rawatan Jantung, di Aras 4, HKL. Syukur Alhamdulillah, Cik Ang selamat sampai ke HKL pada pagi tersebut bagi menemani ayah di HKL. Kami dimaklumkan bahawa ayah perlu menjalani prosedur pericardial tapping, prosedur di mana tusukan dibuat di bahagian dada menembusi ruangan perikardium bagi mengeluarkan cecair yang terkumpul. Prosedur tersebut dijalankan oleh Dr Vina, pakar perubatan HKL jam 4.30 petang. Beliau memaklumkan dengan terperinci berhubung prosedur yang akan dilaksanakan. Beliau juga memaklumkan bahawa prosedur ini mengambil masa selama 15 minit.

Saya menunggu di sebalik tabir wad CCU sepanjang prosedur dijalankan. Namun, apabila masih tiada tanda-tanda prosedur tamat walaupun sudah lebih satu jam, hati saya dipagut rasa gelisah yang amat sangat. Seorang demi seorang pakar perubatan memasuki ruangan wad ayah, menambahkan lagi gelisah di hati saya. Lebih kurang jam 6.15 petang, Dr Vina keluar berjumpa dengan saya, memberitahu bahawa prosedur tidak berjalan dengan lancar. Tusukan yang dibuat tidak berjaya menembusi ruangan perikardium dan cecair yang terkumpul gagal dikeluarkan. Kegagalan ini berlaku berkemungkinan disebabkan oleh jisim-jisim kanser yang berada di sekeliling jantung ayah. Oleh yang demikian, mereka merancang untuk melakukan sekali lagi pericardial tapping keesokan harinya. Hanya Allah Maha Mengetahui perasaan saya tatkala itu. Entah bagaimana harus saya maklumkan berita malang ini kepada mak dan Cik Ang yang berada di luar wad...

Mak tiba di HKL jam 4.30 petang sambil ditemani Along, Mamat dan Boy. Seusai prosedur mencuci luka ayah dilakukan, saya segera menolak kerusi roda mak memasuki wad ayah. Hanya Allah Maha Mengetahui betapa sedihnya hati apabila melihat pertemuan air mata ayah dan mak ketika itu. Ayah memberitahu, sangat sakit rasanya tatkala tusukan menembusi dada ayah. Kami hanya mampu menenangkan ayah, menyatakan apa yang dilakukan adalah demi menyembuhkan penyakit ayah dan mengurangkan kesesakan nafas ayah.

Kelihatan kawasan berbalut di mana tusukan dibuat dan tiub yang disambung dari ruangan perikardium ke luar bagi mengeluarkan cecair dari ruangan tersebut. 

Kelihatan cecair perikardium yang bercampur darah memenuhi tiub yang bersambung dengan beg plastik. Hanya sedikit cecair berjaya dikeluarkan.  

Mak menenangkan ayah. Sangat syahdu ketika menyaksikan detik ini
Ayah terlebih dahulu dimaklumkan oleh doktor atas kegagalan prosedur ini. Ayah memaklumkan kepada mak bahawa esok sekali lagi prosedur ini akan dijalankan. Mak menangis, mengasihani ayah kerana terpaksa melalui keperitan ini. Hanya kepada Allah mampu kami berdoa, agar segalanya berjalan dengan lancar.

Setakat ini dahulu untuk kali ini. Saya akan maklumkan status terkini ayah sedikit masa nanti..Kepada semua, saya pohon, agar sudi memanjatkan sedikit doa kepada Allah, agar penderitaan dan kesakitan yang dialami ayah dikurangkan olehNya...

Assalamualaikum....

Monday, March 28, 2011

~ Kembali ke HKL ~

Assalamualaikum,

Ayah sekali lagi diberikan bantuan
 nebulizer sebaik sahaja dimasukkan ke wad
Pagi Ahad semalam, 27 March 2011, saya bersama Mamat dan Along membawa ayah ke Bahagian Kecemasan, HKL, kerana ayah mengalami sesak nafas yang agak teruk. Sesak nafas ayah kali ini berlanjutan agak lama, walaupun selepas mendapat rawatan nebulizer kali kedua di Klinik Keluarga Dr Hj Mohd Khadzali pada hari Sabtu yang lalu.

Kami tiba di Bahagian Kecemasan HKL kira-kira jam 8.30 pagi, dan terus diarahkan ke Asthma Bay di mana ayah sekali lagi diberi bantuan nebulizer. Kemudiannya, ayah diminta untuk menjalani x-ray dada, bagi melihat keadaan paru-paru ayah. Kami dimaklumkan bahawa ayah perlu dimasukkan ke wad bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.







Along dan Mamat seusai menguruskan kemasukan
ayah ke wad. Tertidur keletihan di katil kosong sebelah katil
ayah. 
Sekitar wad 18 (perubatan) HKL
Memandangkan tiada kekosongan di wad kelas satu, ayah ditempatkan di wad kelas ketiga, katil 30, Wad 18 (Perubatan), Tingkat 4, HKL. Walaupun agak sesak, kami tidaklah berasa begitu tidak selesa, memandangkan sudah acapkali kami berhadapan dengan situasi ini, alah bisa, tegal biasa.. Saya menemani ayah sehingga jam 7.30 malam, dan syif saya diganti oleh Along, yang bermalam di sana. Perkataan 'bermalam' agaknya kurang sesuai memandangkan Along semalaman langsung tidak boleh melelapkan mata kerana pesakit katil berdekatan asyik menjerit kesakitan sepanjang malam.

Pagi ini, saya tiba di hospital agak lewat, lebih kurang jam 10.30 pagi kerana singgah seketika di pejabat. Along pula saya minta untuk segera pulang dan berehat di rumah. Ayah masih mengalami kesesakan nafas dan begitu lemah sekali, sehinggakan tidak mampu ke bilik air tanpa bantuan. Melihat keadaan ayah yang begitu lemah, doktor memberikan bantuan 25% oksigen. Kami juga diminta untuk memaklumkan jururawat bertugas sekiranya ayah memerlukan bantuan nebulizer.

Ayah yang tidak boleh baring kerana kesesakan nafas
Bantuan oksigen melegakan kesesakan nafas ayah, menjadikan ayah agak selesa

Sepanjang hari saya mengurut-ngurut badan ayah, kerana ayah mengalami sakit-sakit badan. Mungkin kerana posisi tidur ayah, yang tidak boleh berbaring. Kasihan ayah. Acapkali juga terasa air mata hampir tumpah di tubir mata, namun cepat-cepat diseka, saya tidak boleh menunjukkan kesedihan di hadapan ayah, sayalah kekuatan ayah ketika ini. Dalam jam 5.30 petang, abang datang melawat ayah bersama-sama Mamat. Tidak tenang abang seharian di pejabat mengenangkan keadaan ayah. Abang yang berpuasa hari ini, kelihatan begitu keletihan, sehingga tertidur di katil ayah.


Suami tiba jam 6.00 petang dan saya pulang bersamanya kira-kira jam 7.30 malam. Abang menemani ayah sehingga jam 10.30 malam dan syif abang diganti oleh Along. Semoga tidur ayah malam ini lena dan tenang...

Saya perlu tiba di hospital seawal jam 7.30 pagi esok memandangkan saya perlu berbincang dengan doktor berkenaan urusan pemindahan ayah ke wad Institut Radiologi dan Onkologi. Diharap permintaan kami dapat dipenuhkan oleh pihak wad memandangkan ayah sememangnya di bawah rawatan institut tersebut.

Setakat ini buat kali ini. Saya perlu berehat untuk esok. Semoga segala usaha diberkati Allah Taala...Amin...

Assalamualaikum....

Wednesday, March 23, 2011

~ Saya Bebas Implanon ~

Assalamualaikum,

Pemakaian implanon merupakan salah satu kaedah pencegahan kehamilan. Selepas tiga tahun berturut-turut dianugerahkan dengan tiga permata hati yang comel-comel, saya dan suami membuat keputusan untuk menjarakkan kehamilan dengan pemakaian implanon, demi untuk memastikan anak-anak kami mendapat kasih sayang dan penjagaan yang secukupnya.

Ketika Adelya mencecah satu bulan, saya memasang implanon di lengan kiri saya, di Pusat Rawatan Islam Mahsuri, Jitra, Kedah. Seingat saya, hampir dua minggu saya merasa sakit di lengan, juga lebam yang agak teruk. Selepas pemakaian, saya langsung tidak mengalami haid sehinggalah Adelya mencecah umur 1 tahun 4 bulan. Namun, selepas dua tahun usia implanon dalam lengan saya, haid saya menjadi sangat tidak teratur, dan begitu kerap, hingga menjejaskan ibadat saya termasuklah puasa.



Implanon saya sudahpun tamat tempoh pada 27 January 2011 yang lalu. Namun, hanya pada hari ini saya berjaya mengumpul kekuatan untuk menanggalkan implanon tersebut. Tepat jam 6.30 petang, pembedahan kecil dilakukan, di mana lengan saya ditoreh sedikit demi untuk mengeluarkan implanon tersebut. Bius disuntik bagi mengelakkan kesakitan sepanjang prosedur tersebut. Selepas implanon berjaya dikeluarkan, luka torehan dijahit dan dibalut dengan plaster kalis air. Saya perlu kembali ke klinik selepas seminggu bagi membuang benang jahitan. Ubat tahan sakit dan antibiotik turut dibekalkan doktor bagi menghalang jangkitan.


Selepas dibalut
Bahana tidak merehatkan 'lengan' seperti yang dinasihatkan oleh Dr... darah masih keluar dari luka jahitan

Syukur Alhamdulillah, saya berjaya mengharungi pengalaman ini. Semoga ibadah saya lebih sempurna selepas ini, tanpa sebarang masalah, InsyaAllah...

Sekian.

Assalamualaikum....

~ Ayah Penat ~

Assalamualaikum,

Pagi Isnin dua hari yang lalu, mak menghubungi saya tatkala saya di pejabat, memaklumkan yang ayah mengalami kesukaran bernafas. Namun, sesudah memakai inhaler, keadaan ayah kembali normal. Hilang seketika gelisah di hati. Malamnya pula, mak sekali lagi menghubungi saya, memaklumkan yang ayah sekali lagi mengalami kesukaran bernafas, dan seperti pagi harinya, ayah kembali normal selepas menggunakan inhaler.

Dek kerana gelisah, saya menghubungi suami kepada Dr Zabedah, pakar onkologi yang merawat ayah dan saya dinasihatkan untuk membawa ayah ke Bahagian Kecemasan HKL untuk rawatan lanjut. Namun, ayah tidak bersetuju dan memilih untuk berehat di rumah. Saya dan suami kemudiannya merancang untuk membawa ayah ke HKL keesokan harinya. Segala kelengkapan untuk bermalam di hospital saya sediakan, kerana saya yakin, sekiranya ayah dibawa ke HKL, pasti ayah akan ditahan sekali lagi di sana untuk rawatan lanjut. Abang pula, yang tatkala ini berada di London atas urusan kerja, tidak senang duduk, begitu kerap menghubungi saya bagi mengetahui dan membincangkan keadaan kesihatan ayah.

Keesokan harinya, keadaan ayah semakin stabil dan selepas berbincang dengan abang, kami tidak membawa ayah ke HKL, tetapi ke Klinik Keluarga Dr Hj Mohd Khadzali yang terletak berdekatan dengan rumah abang. Di sana, doktor memaklumkan bahawa terdapat banyak kahak dalam saluran pernafasan ayah. Ayah diberikan wasap nebulizer, bagi mencairkan kahak dan di penghujung rawatan, ayah diberikan ubat cair kahak dan juga ubat bagi membantu ayah untuk lebih tenang.

                         

Syukur Alhamdulillah, ayah 'selesa' selepas mendapat rawatan di sana. Sekembali dari mendapatkan rawatan ayah menjadi sangat berselera untuk makan, lega hati kami sekeluarga. Tidur ayah pada malamnya juga amat nyenyak. Syukur sekali lagi kepada Yang Maha Mengasihani...

Setakat ini buat kali ini. Saya amat berharap agar semua sudi memanjatkan doa kepada Allah untuk kesejahteraan kesihatan mak dan ayah... Amin Ya Rabbal Alamin...

Sekian.

Assalamualaikum....

Monday, March 21, 2011

~ Mak dan Ayah di Terengganu ~

Assalamualaikum....

Dua hari selepas ayah keluar daripada wad (17 Mac 2011 yang lalu), ayah begitu beriya-iya ingin mengikut abang ke Kuala Terengganu, untuk rombongan meminang calon bagi cucu pertama ayah, Along. Perancangan awalnya, abang bersama kak hasmah dan mak akan ke sana, manakala saya mengambil cuti untuk menjaga ayah sepeninggalan abang ke Kuala Terengganu. Namun, apabila merasa badan amat 'selesa' selepas rawatan, ayah begitu kepingin untuk mengikut rombongan meminang. Kata ayah, sudah terlalu lama dari kali terakhir ayah menjejakkan kaki ke Terengganu. Ayah juga begitu teringin untuk melihat Masjid Kristal. Kami akur dalam keterpaksaan.. dengan kerisauan beraja di hati.. Tidak putus kami berdoa agar mak dan ayah sihat sepanjang perjalanan yang jauh tersebut.

Abang, Kak Hasmah, mak dan ayah bertolak ke Kuala Terengganu lewat petang Khamis. Bermalam di homestay yang telah ditempah oleh Kakak. Rombongan dari Kedah turut tiba di homestay pada malam tersebut juga. Keesokkan harinya, selepas bersarapan, rombongan menuju ke rumah Shalwiah, dan urusan peminangan dan pertunangan berjalan dengan lancar. Syukur Alhamdulillah...

Kakak selepas upacara menyarung cincin pertunangan ke jari calon menantu pertama, Shalwiah
 Inilah Along, cucu pertama ayah dan mak


 Selepas selesai majlis dan selepas berehat di homestay, abang membawa mak dan ayah ke Masjid Kristal dan sekitar Kuala Terengganu sebelum berangkat pulang ke KL.







Saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah apabila mak dan ayah selamat tiba ke KL. Namun, kegusaran terhadap tahap kesihatan ayah tetap di hati, saya hanya mampu berdoa.. agar ayah senantiasa 'selesa'...

"Ya Allah.... Kau dengarlah rintihan hati hambaMu ini...Kau kurangkanlah penderitaan ayah... hanya padaMu kami berserah..."

Setakat ini buat kali ini..

Assalamualaikum....

~ Sesi Rawatan Kemoterapi Ke-2 di HKL ~

Assalamualaikum..

Agak sukar untuk saya memulakan ayat di laman blog saya setelah hampir 3 minggu membisu tanpa sebarang coretan. Terasa begitu cepat masa berlalu, mungkin kerana terlalu asyik menguruskan hal dunia.

Isnin yang lalu, 14 Mac 2011, ayah kembali ke Institut Radiologi dan Onkologi untuk rawatan kedua kemoterapi. Kami tiba di hospital agak lewat, lebih kurang dalam pukul 9.00 pagi. Ketika mendaftar masuk ke wad, kami dimaklumkan bahawa Wad Kelas 1 telah penuh, dan hanya terdapat kekosongan di Wad Kelas 2. Kami akur dengan ketentuanNYA, mungkin ada hikmah di sebaliknya. Ayah dimasukkan ke wad RT 2C, katil no 16 di bawah tanggungjawab Dr Zabedah.

Katil 16, Wad RT 2C
 Pemandangan sekitar dalam Wad RT 2C
 Pengalaman pertama Ayah di Wad Kelas 2, tinggi jugak tekanan darah ayah ketika mula-mula dimasukkan ke wad 
 Sedang berehat seketika.. 
 Pesakit yang terpaksa mengalah dengan nurse apabila diminta memakai pakaian hospital. Sebelum ini, cukup susah untuk mengenakan pakaian ini, "panas" kata ayah.. 

Pada hari pertama dimasukkan, darah ayah diambil untuk melihat tahap kandungannya, samaada sesuai atau tidak menjalani rawatan kemoterapi. Syukur Alhamdulillah.. darah ayah di tahap normal. Ayah diminta berehat semalaman sebelum rawatan kemoterapi keesokkan harinya. Sempat juga kami berbual-bual dengan pesakit-pesakit lain, yang telah lama berkampung di wad tersebut untuk rawatan penyakit kanser mereka..

Memandangkan Wad RT 2C ini merupakan wad pesakit lelaki, abang meminta saya pulang ke rumah dan beliau menggantikan tempat saya untuk menjaga ayah pada malam tersebut.

Pakcik Ismail Din sedang dalam persediaan untuk menjalani rawatan kemoterapinya
 Di surau Wad RT 2C

Pada 15 Mac 2011, ayah menjalani rawatan kemoterapi ke-2 kira-kira jam 1.00 tengahari. Ayah kelihatan amat sihat sepanjang rawatan dijalankan.



Selesai rawatan kemoterapi, ayah diminta untuk berehat dan keadaan ayah dipantau oleh pihak hospital. Doktor datang melihat keadaan ayah dalam jam 3 petang dan selepas berpuas hati dengan keadaan ayah, ayah diberi pilihan samaada berada semalaman lagi di hospital atau boleh pulang untuk berehat di rumah. Ayah memilih untuk berehat di rumah.. Kami pulang petang tersebut juga dan dijemput oleh anak kedua abang, Mamat.

Sejujurnya, inilah pengalaman paling lama saya di Wad Kelas 2. Pengalaman-pengalaman saya di HKL sebelum ini  hanya terhad kepada Wad Kelas 1, bilik perseorangan, agak terperosok dari pemandangan-pemandangan hospital yang menggerunkan. Di Wad RT 2C, saya melihat pelbagai bentuk penderitaan, dari pelbagai jenis penyakit kanser, dan tempat ini jualah yang mengajar saya erti ketabahan dan kesabaran, dalam mengharungi ujian Allah. Di situlah saya melihat kasih sayang seorang ayah, yang tidak jemu mengurut kaki dan paha anaknya yang seawal usia 20 tahun, ditimpa penyakit kanser tulang.. di situ jua saya melihat isteri seorang pesakit kanser mulut dan hidung yang berbangsa cina, yang begitu setia di samping suaminya..

Setakat ini buat kali ini. Tidak lupa untuk saya sampaikan jutaan penghargaan buat yang tersayang, yang begitu sabar melayan kerenah anak-anak yang lasak ketika saya menjaga ayah di hospital. Terima kasih sayang...

Sekian.

Assalamualaikum.....

Saturday, March 5, 2011

~ Maklumat Penting Tentang Kanser ~

Assalamualaikum...

Sedang saya mengemas rumah, saya terjumpa dengan risalah bertajuk "Cancer and You" yang saya ambil di Institut Radiologi dan Onkologi HKL, tatkala menemani ayah dalam salah satu rawatan penyakit kansernya. Ingin saya kongsi bersama maklumat-maklumat penting yang saya perolehi dari risalah ini.

Apakah Kanser?

Badan kita terdiri dari berjuta-juta unit sel. Kanser merupakan penyakit sel. Secara normal, sesetengah sel akan mati, akibat faktor usia sel atau disebabkan oleh kecederaan. Sel-sel lain akan membahagi untuk membentuk sel baru bagi menggantikan sel-sel yang telah mati itu. Badan selalunya akan menghasilkan jumlah sel yang tepat, sel yang betul dan akan berhenti membahagi apabila semua sel telah diganti.

Walaubagaimanapun, terdapat keadaan di mana sel-sel ini terus bercambah dan membahagi tanpa henti, tanpa sebarang sebab munasabah. Tisu-tisu tidak normal ini akan membentuk lump (ketulan tisu) yang dipanggil tumor. Tumor ini kemudiannya menekan sel-sel di sekelilingnya dan mengambil zat-zat darinya. Tumor ini berkemungkinan adalah kanser.

Adakah Semua Tumor Bersifat Malignant

Tidak. Tumor boleh bersifat benign (bukan kanser) atau malignant (kanser).  Tumor benign tidak tersebar di bahagian lain badan. Tumor malignant boleh tersebar dan memusnahkan sel-sel normal serta boleh menjangkiti bahagian lain dalam tubuh badan.

Bagaimana Kanser Merebak?


Tumor malignant terdiri dari sel-sel kanser. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh merosakkan sel-sel di sekelilingnya. Ada ketikanya, sel-sel kanser ini menjangkiti bahagian lain dalam badan. Keadaan ini dipanggil metastasis atau secondary cancer. Sebagai contoh, sekiranya sel kanser payudara tersebar ke tulang, ianya dipanggil kanser sekunder kepada tulang. Ianya tidak dipanggil kanser tulang, iaitu sejenis penyakit yang lain.

Kanser merebak ke bahagian lain tubuh dengan cara menjangkiti sel-sel normal disekelilingnya. Ia juga boleh merebak melalui pengaliran darah atau saluran limfa.

Apakah Penyebab Kanser?


Penyebab yang tepat kepada pelbagai jenis kanser adalah tidak diketahui. 90% dari kanser dikaitkan dengan persekitaran dan cara hidup. Penyebab kanser boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu penyebab boleh ubah (modifiable) dan penyebab tidak boleh ubah (non-modifiable).

Penyebab tidak boleh ubah terdiri dari jantina, umur dan faktor keturunan. Individu dengan mempunyai ahli keluarga yang menghidap kanser berada dalam golongan berisiko tinggi menghidapi kanser.

Penyebab boleh ubah dikaitkan dengan cara hidup dan faktor persekitaran. Ini termasuklah bahan-bahan yang dimakan, diminum, dihisap, radiasi, pendedahan di tempat kerja, tabiat seksual dan juga bendasing yang berada di dalam udara. Penyebab boleh ubah termasuklah:


  • Tembakau - 90% dari penyebab kanser paru-paru adalah merokok tembakau. Anggota lain yang turut sama boleh dijangkiti kanser disebabkan oleh tembakau adalah larink, mulut, farink, esofagus, pundi, pankreas, buah pinggang dan servik. 
  • Diet - Dianggarkan 30-40% dari penyebab kanser di kalangan lelaki dan wanita dikaitkan dengan diet. Kajian menunjukkan lemak berlebihan dalam diet meningkatkan risiko kanser kolon, payudara dan kanser-kanser lain. Pengambilan berlebihan jeruk, garam, makanan yang dibakar atau makanan dalam tin meningkatkan risiko kanser esofagus, perut dan nasofarink
  • Tabiat Seksual - Hubungan seks pada usia yang sangat awal dan seks rambang meningkatkan risiko kanser servik
  • Alkohol - Pengambilan alkohol berlebihan meningkatkan risiko kanser kaviti oral, farink dan esofagus. Ianya juga berkait rapat dengan penyebab kanser hati
  • Mengunyah sirih dan mengunyah tembakau - Ianya boleh membawa kepada kanser perut
  • Jangkitan Hepatitis B - Boleh menyebabkan kanser hati
  • Pendedahan di Tempat Kerja - Pendedahan kepada agen karsinogenik di tempat kerja boleh menyebabkan kanser-kanser tertentu
Bagaimana Mencegah Kanser?

Sesetengah kanser boleh dicegah dengan menjalani cara hidup yang sihat. Cara hidup yang sihat yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

  • Memilih untuk tidak merokok dan menjauhi asap rokok
  • Makan makanan seimbang dengan mengurangkan lemak dan memperbanyakkan makan buah dan sayur
  • Mengekalkan berat badan ideal melalui senaman teratur dan pemakanan sihat
  • Elakkan seks rambang
  • Elakkan pengambilan alkohol
  • Mendapatkan imunisasi Hepatitis B
  • Mengamalkan kebersihan mulut yang sihat termasuklah menjauhkan tabiat mengunyah sirih dan tembakau
  • Mengamalkan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan
Pengesanan Awal Kanser

Cara hidup yang sihat mengurangkan risiko kanser. Walaubagaimanapun, terdapat sesetengah kanser yang tidak dapat dielak. Dalam keadaan ini, pengesanan awal perlu diberikan penekanan.

Pengesanan awal, diikuti dengan rawatan awal meningkatkan peluang untuk sembuh. Pengesanan awal boleh dilakukan dengan:

  • Mengetahui 9 tanda amaran awal kanser dan mendapatkan pemeriksaan perubatan segera
  • Pemeriksaan payudara bagi mengesan kanser payudara
  • Pemeriksaan pap-smear bagi mengesan kanser servik
  • Pemeriksaan sendiri kaviti oral bagi mengesan kanser oral
9 Tanda Amaran Awal Kanser

Di kebanyakan kesa, kesan awal kanser dapat dilihat. Sekiranya individu mengalam satu atau lebih amaran awal ini, ia tidak semestinya kanser. Namun, individu tersebut disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendiagnos penyakit sebenar yang dihadapi individu. 

9 amaran awal kanser adalah seperti berikut:

  1. Pendarahan vagina secara tidak normal di antara haid atau selepas menopaus
  2. Ketulan di payudara atau perubahan lain yang dilihat pada payudara
  3. Perubahan dalam tabiat membuang air
  4. Ketulan di leher yang sebelum ini tiada
  5. Ulser yang tidak sembuh-sembuh, ketulan atau tompok merah atau putih di dalam mulut
  6. Keserakan suara melebihi 2 minggu
  7. Pendarahan tidak normal hidung, kepekakan atau bunyi deringan dalam telinga
  8. Sakit dan ketidakselesaan berterusan abdomen
  9. Batuk berterusan dan kahak berdarah
Rawatan Kanser

Kebanyakan kanser boleh diubati sekiranya dikesan dan dirawat awal. Terdapat 3 cara dalam merawat kanser iaitu pembedahan, radioterapi dan kemoterapi. Setiap rawatan boleh dijalankan berasingan atau gabungan, bergantung kepada jenis kanser, tahap perebakannya dan juga tahap kesihatan pesakit. 

KURANGKAN RISIKO KANSER DENGAN MENJALANI CARA HIDUP YANG SIHAT.

PENGESANAN AWAL KANSER DAPAT MENYELAMATKAN NYAWA.

Setakat ini buat kali ini. Diharap maklumat ini dapat membantu semua...

Sekian..

Assalamualaikum......  

Friday, March 4, 2011

~ Kanser dan Rokok ~

Assalamualaikum...

Ayah saya merupakan perokok tegar suatu masa dahulu. Dahulu, paling kurang, ayah pasti akan menghabiskan sekotak rokok dalam sehari. Walaubagaimanapun, selepas kelahiran saya dan adik kembar, ayah nekad untuk berhenti merokok. Memang sukar untuk menghentikan tabiat merokok, tambah pula bagi perokok-perokok tegar. Tetapi ayah akhirnya berjaya.. Begitulah kisah yang berlaku lebih 30 tahun yang lalu..

Bagi yang tidak merokok, saya sarankan agar jangan sekali-kali mencubanya. Merokok menyebabkan ketagihan, semestinya akibat kandungan nikotin di dalamnya, punca mengapa sangat sukar bagi seorang perokok menghentikan tabiat itu. Pelbagai usaha dibuat untuk menyedarkan umum tentang bahana keseronokan merokok. Antaranya adalah:

  • Kanser paru-paru
  • Kesesakan nafas
  • Membantutkan pertumbuhan janin hingga boleh mendatangkan pelbagai penyakit kepada bayi yang dikandung
  • Risiko masalah pernafasan kepada bayi dan kanak-kanak
  • Sakit jantung iskemia
  • Risiko kepada pelbagai jenis kanser
  • Kerosakan kepada salur darah
  • Kelemahan ingatan


Terlalu banyak kesan keburukan merokok, bukan sahaja kepada perokok, tetapi juga bagi mereka-mereka yang berada di sekeliling si perokok. Kesannya tidak muncul serta merta, ia makan masa yang lama, bertahun-tahun. Lihat saya kesan merokok kepada ayah. Apa yang nyata, bahana rokok ini amat buruk kesannya terutamanya kepada mereka-mereka yang termasuk dalam golongan berisiko tinggi sebagai penghidap pesakit kanser.

Genetik kanser yang mengalir dalam darah keturunan saya ini pastinya akan membawa padah jika saya dan anak-anak terdedah kepada asap rokok. Saya bukanlah perokok, abang saya juga bukan perokok, ayah telah lama menghentikan tabiatnya yang kini memakan dirinya itu. Yang menyedihkan saya adalah "yang tercinta" masih tunduk kepada sang rokok.. Doa saya di atas sejadah setiap hari, agar Allah teguhkan hatinya,  kuatkan semangatnya untuk berhenti, demi untuk kebaikan dirinya  dan juga kami insan-insan yang menyintainya.. Cinta kami tidak pernah pudar, malahan semakin bercambah dari hari ke hari.... Semoga kecintaannya kepada kami juga akan menjadi perangsang kepadanya untuk berhenti merokok.. Selepas apa yang berlaku pada ayah, jadi menjadi seorang yang amat sensitif, saya tidak betah melihat kelibat perokok. Jika dahulu, saya tidak pernah kisah bercampur gaul dengan mereka-mereka yang merokok, bergelumang dalam asap rokok mereka, tetapi kini tidak lagi... Saya akan menjauhkan diri sejauh-jauhnya.. Betapa dalamnya dendam kesumat saya kepada ROKOK. Sesekali melihat kelibat "yang tercinta" sedang enak menghisap rokok, hati saya bagai dicarik-carik, sangat pedih dan pilu...




YA ALLAH, aku merayu padaMu, Kau berilah sinar kepadanya...

Setakat ini buat kali ini. Semoga nukilan saya kali ini mampu membawa kebaikan kepada mereka-mereka di luar sana.... juga pada "yang tercinta"..

Assalamualaikum....

Wednesday, March 2, 2011

~ Kasih Anak ~

Assalamualaikum...

Sukar untuk saya melelapkan mata malam ini. Saya rindukan mak dan ayah... Mak dan ayah sudah 7 hari berada di kampung. Saban hari saya pasti menghubungi mereka, hilang rasa gusar tiap kali mendengar suara-suara 'syurga' yang amat saya rindui itu..

Ayah dan mak khabarnya sungguh sihat di kampung, hanya sekali ayah mengalami 'ketat dada'. Saya dan suami amat-amat gembira dengan keadaan ayah dan juga mak. Pastinya kemoterapi serta ubat-ubatan yang dibekalkan doktor, memberikan ayah 'keselesaan' kepada tubuh badan ayah.. Saya juga dimaklumkan ayah sempat juga menjalankan rutin harian yang telah lama ditinggalkan, iaitu mencabut rumput dan menyiram pokok bunga.. Alhamdulillah... sihat ayah, sihatlah kami anak-anak ayah..

Saya tahu, kegembiraan ayah dan mak di kampung adalah kerana berada dekat dengan anak kesayangan mereka, CikNa. CikNa lah yang selama ini menguruskan kebajikan mak dan ayah di kampung. Walaupun sibuk dengan anak-anaknya yang lima orang itu, namun CikNa tidak pernah lalai dalam menyempurnakan tanggungjawabnya kepada ayah dan mak. Tidak pernah melawan cakap mak dan ayah ketika dimarahi.  Hampir setiap hari ketika di KL, mak dan ayah pasti akan menceritakan perihal CikNa dan anak-anaknya, tentang kesedapan masakannya, tentang kisah kenakalan anak-anaknya, tentang pengorbanan masa senggangnya demi untuk menguruskan rumah mak dan ayah, tentang kebaikan menantu mereka, CikDee, yang senantiasa ringan tulang menunaikan permintaan mak dan ayah, serta tidak pernah 'merajuk' bila dimarahi... Tidak terdetik di hati saya untuk cemburu, kerana saya tahu, Cikna layak bertahta di hati mak dan ayah, pengorbanannya tidak mungkin dapat saya tandingi...

Saya yakin, adik beradik saya yang lain pasti mengakui kebenaran hakikat ini. Kepada Cikna, senantiasalah bersyukur, Allah memberikan nikmat untuk Cikna melihat dan mencium wajah mak dan ayah setiap hari.. Itulah sebesar-besar nikmat di dunia..

Setakat ini buat kali ini... Terima kasih Cikna dan CikDee, atas segala pengorbanan kepada mak dan ayah..Hanya Allah yang mampu membalasnya...

Sekian.

Assalamualaikum......

~ Sekadar Renungan Bersama ~

Assalamualaikum..


Sejujurnya, saya sebelum ini, amat gerun dengan perkataan kanser. Titik pertama dalam hidup saya berdepan dengan penyakit kanser adalah apabila kami sekeluarga dikejutkan dengan berita Mak Andak suami (adik emak mertua saya) disahkan menghidap kanser payudara. Mak Andak mencuba pelbagai rawatan alternatif, namun, apabila rawatan-rawatan tersebut tidak memberi kesan, Mak Andak menjalani kemoterapi. Tidak banyak yang saya tahu, memandangkan Mak Andak kelihatan sihat dan aktif setiap kali berjumpa. Harus juga saya akui, saya sering mengelak untuk mengambil tahu perihal penyakitnya, kerana 'phobia' yang saya alami.

Ramadhan 2010, saya dan keluarga melawat Mak Andak di rumahnya di Kluang Johor, tujuan asalnya adalah untuk beraya. Namun, apabila tiba di rumahnya, saya dan suami amat terkejut melihat keadaan Mak Andak, tersangat kurus, terlantar tidak bermaya, luruh semua rambut di kepala dan badan. Amat menyayat hati saya dan suami. Sempat juga saya bisikkan kepadanya agar sentiasa ingat kepada Allah dan beliau bertuah kerana dipilih Allah untuk mengharungi dugaan ini, luruh dosa-dosanya bersama derita yang dilaluinya.

Sekembalinya saya dari kampung, saya mengalami kemurungan dan kesedihan yang amat sangat, apabila mengenangkan derita Mak Andak. Saya menangis setiap hari selama lebih seminggu. Kepada mak saya lempiaskan kesedihan dan tangisan saya, menceritakan derita Mak Andak.

Apabila saya menceritakan kisah tersebut kepada mak, mak memaklumkan bahawa arwah tok saya (ibu kepada ayah) juga merupakan pesakit kanser leher. Hanya Allah yang Maha Mengetahui perasaan saya tatkala menerima perkhabaran tersebut, hakikat yang menempatkan saya dalam golongan berisiko tinggi sebagai penghidap kanser. Arwah tok telah lama meninggalkan kami, saya sendiri tak sempat melihatnya, apatah lagi mengetahui tentang penyakitnya itu. Perkara yang paling saya geruni kini, rupa-rupanya amat dekat dengan susur galur keturunan saya.Ya, buktinya apabila October 2010 lalu, kami dikejutkan dengan berita ayah menghidap kanser paru-paru...

Harus saya akui, keadaan Mak Andak mendekatkan lagi saya kepada Yang Maha Esa... Syukur Alhamdulillah, di atas kepedihan ini, terselit juga sinar hidayah dari Allah... Menyedarkan saya bahawa maut itu adalah pasti, keseronokan perjalanan hidup di dunia ini hanyalah sementara dan bila-bila masa sahaja maut boleh datang menjemput kita..

Mak Andak telah kembali ke Rahmatullah pada November 2010, selepas mengharungi penderitaan dan kesakitan akibat kanser payudara. Arwah seorang yang amat kental jiwanya dalam melawan penyakit, namun kami redha dengan ketentuanNya.. Semoga rohnya senantiasa dicucuri rahmat.. Al-Fatihah kepada Mak Andak.......

Setakat ini buat kali ini...

Assalamualaikum...