Sunday, February 27, 2011

~ Sejenak di Tiara Beach Resort, Port Dickson ~

Assalamualaikum,

Syukur kepada Allah, kami perjalanan percutian hujung minggu kami ke Port Dickson berjalan dengan lancar dan selamatnya. Keletihan yang dirasai hilang apabila mengenangkan wajah ceria dan gelak tawa riang anak-anak tersayang.

Kami menginap di Tiara Beach Resort, yang terletak berjauhan dari persisir pantai. Sebab utama kami menginap di situ adalah kerana water park  yang terdapat di situ. Sebenarnya, ini adalah kali ke-2 kami di sana, kali pertama adalah ketika Hari Keluarga Open University Malaysia, majikan saya terdahulu sebelum saya menyertai Asia e University.

 Aksi Girl dengan pistol airnya
 Ayzad tersangat seronok dengan aktiviti 'meluncur air'
 Juga terdapat aktiviti main pasir di sana
Ayman dengan aktiviti berenang sambil menyelam..
 Sekitar water park Tiara Beach Resort
Lagi sekitar water park Tiara Beach Resort

Banyak aktiviti-aktiviti untuk anak-anak di sana
 Girl ketakutan dan Ayzad keseronokan
Abah memantau anak-anak bermain air

Bilik yang kami diami adalah bilik studio, dengan 2 katil bujang. Memadai bagi kami 5 beranak. Biasa sahaja keadaan bilik, cuma kurang penyelenggaraan oleh pihak hotel. 


 Katil  bujang kami, yang dirapatkan untuk memuatkan kami 5 beranak..
 TV yang kurang mendapat perhatian kerana tiada siaran "611"
Almari tempat ketiga-tiga anak-anak bersembunyi..

Selepas check-out, kami tidak melepaskan peluang untuk ke PD Ostrich Farm, yang terletak tidak jauh dari Tiara Beach Resort. 

Ayman menunggang ostrich 
Giliran Ayzad pula.. 
 Suami yang menunjukkan kehebatannya memberi makan kepada ostrich..
 Anak monyet yang sangat suka mengejar budak-budak 
Ayzad memberi arnab makan...
 Anak monyet mengejar Girl 
Abah menjadi mangsa apabila Girl langsung tidak mahu berjalan.. takutkan anak monyet... 


Sungguh puas melihat anak-anak sangat bergembira dengan percutian hujung minggu kali ini. Diharap perjalanan ini menjadi salah satu kenangan terindah anak-anak bersama kami.. Oh ya.. salah satu kesan percutian kali ini... wajah kami semua kemerahan-merahan terbakar dek pancaran matahari yang terlalu terik...



Mama dan Abah sayangkan Abang, Adik dan Girl... Jadilah anak-anak yang soleh dan solehah.. Yang patuh dengan ajaran dan suruhan Allah.. Semoga anak-anak mama mendapat kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat....

Setakat ini buat kali ini...

Assalamualaikum..... 

Friday, February 25, 2011

~ Kisah Anak-Anak di Rumah Pak Ngah ~

Assalamualaikum....

Sejak Januari 2011, setiap hujung minggu kami sekeluarga memang dihabiskan di rumah abang di AU4 Taman Seri Keramat Tengah memandangkan mak dan ayah ada di sana, jika tidak di hospital. Sampaikan Adelya, baru satu hari balik ke rumah sendiri, sudah bertanyakan bila lagi nak ke rumah Pak Ngah mereka. Mengapa anak-anak terlalu seronok nak ke rumah Pak Ngah mereka? Lihat saja foto-foto di bawah:

Aktiviti basuh kereta sambil main hujan.... 





Syukur Alhamdulillah hubungan kekeluargaan kami sangat utuh, nikmat Allah kepada mak dan ayah untuk hidup dalam ketenangan melihatkan kebahagiaan anak cucu mereka.. Syukur sekali lagi...

Memandangkan hujung minggu ini mak dan ayah berada di kampung, saya dan suami bercadang untuk membawa anak-anak ke Port Dickson, untuk menghabiskan hujung minggu di sana. Insyaallah kami akan bertolak tengahari nanti, selepas selesai kelas tuisyen suami... Doakan semoga perjalanan kami diberkati Allah... agar selamat pergi dan selamat kembali.... 

Sekian.

Assalamualaikum.....

Thursday, February 24, 2011

~ Saranan Pemakanan Pesakit Kanser ~

Assalamualaikum,

Puas rasanya bila semalaman dapat tidur sambil memeluk mak tersayang, terima kasih kepada suami tercinta, kerana mengizinkan isterinya ini menghabiskan masa dengan mak dan ayah untuk malam terakhir mereka di sini. Saya akan setia menanti kedatangan mak dan ayah kembali ke sini untuk rawatan ayah berikutnya pada 13 Mac 2011.




Ayah seorang yang amat menekankan soal disiplin, maklumlah, bekas guru besar. Ayah kuat berpantang, terutamanya selepas serangan jantung yang ayah alami 9 tahun yang lalu. Begitu juga dengan mak, amat tegas dalam memastikan ayah tidak berpesong daripada jadual pemakanan yang perlu ayah turuti.



Sejak didiagnos dengan penyakit kanser paru-paru, ayah disaran untuk berpantang, tak boleh makan daging (terutamanya kambing - ayah's favourite), ayam, sayur-sayur yang sejuk, buah-buah yang masam dan juga mengurangkan makanan berminyak. Ayah akur. Ayah kehilangan selera makan yang kronik, hingga susut 13 kg berat badan dalam tempoh masa yang singkat.



Walaubagaimanapun, sejak rawatan kemoterapi tempoh hari, ayah menjadi sangat berselera untuk makan. Pastinya disebabkan oleh pil-pil vitamin tambahan yang perlu ambil saban hari meningkatkan selera makan ayah. Dalam kegembiraan melihat selera ayah yang semakin baik, timbul juga rasa gusar, bila ayah mula meminta untuk makan makanan-makanan 'terlarang'..

Saya mencari informasi dari internet, berhubung makanan-makanan yang perlu dijauhkan oleh pesakit kanser, terutamanya yang sedang di bawah rawatan kemoterapi, juga makanan-makanan yang perlu disarankan kepada pesakit kanser.

Makanan yang wajib dijauhkan:

  • Semua jenis daging merah (lembu, kambing dan seangkatan dengannya..) - ini merupakan MAKANAN kepada sel kanser! 
  • Susu penuh krim
  • Minyak terhidrogen seperti marjerin, atau makanan yang mengandungi minyak terhidrogen
  • Makanan berlemak dan lemak haiwan (termasuklah keju, yogurt) 
  • Makanan yang digoreng dalam jangka masa lama

Makanan yang disarankan untuk dilebihkan pengambilan:

  • Labu
  • Lobak merah
  • Sayur hijau
  • Brokoli, kobis, bunga kobis, bronkoli sprout                           
  • Soya, kacang
  • Tomato yang dimasak
  • Bawang putih
  • Ayam yang 97% bebas lemak
  • Ikan salmon atau ikan-ikan lain
  • Minyak zaiton untuk memasak
  • Walnut
  • Beras perang
  • Oatmeal
  • Buah-buah segar, terutamanya blueberries dan strawberi
  • Teh hijau
  • Anggur merah dan anggur hitam
  • Jus anggur (1 cawan sehari)
  • Jus oren (2 cawan sehari)
  • Buahan yang dikeringkan (kurang manis) - apricot, kurma, prun

Sempat juga saya melayari blog rawatkanser.blogspot.com yang menyenaraikan makanan-makanan yang perlu dijauhi oleh pesakit kanser, yang lebih kurang sama dengan senarai di atas: 

  • Produk tenusu - keju, susu segar, mentega
  • Makanan laut - gamat, sotong, dll
  • Minuman: kopi, teh, minuman bercoklat
  •  Daging: daging merah seperti daging lembu, kambing, unta, rusa dll
  • Sayur dan buah yang bergetah dan berangin seperti nangka, suku, cempedak, kundur, dll
  • Ikan yang bersisik - haruan, gelama, merah
  • Makan segera dan produk dalam tin: ikan sardin, laici, jagung, minuman bergas serta bahan yang mempunyai bahan pengawet
  • Makanan berjeruk - ikan masin, telur asin, budu, belacan, dll
  • Makanan yang dipanggang - sate, ikan bakar (semua yang dibakar terdapat banyak karbon yang tinggi)
  • Kulit ayam dan itik mesti dibuang
  • Makanan banyak sayuran crucifer seperti brokoli, bunga kobis, dll
  • Makan sekurang-kurangnya 3 hidangan ikan air sejuk seperti salmon, tuna, tenggiri, kod
  • Makan banyak tempe, tofu dan air kacang soya
  • Makan sayuran organik
  • Makan cendawan payung, tiram, shitake 
  • Makan makanan yang banyak beta-karotin, karotinoid dan flavonoid seperti tembikai, betik, tomato dan lobak merah
  • Makan sayuran seperti bawang putih, bawang merah, bawang hijau, kucai dan daun bawang
  • Minum air bersih yang bebas dari klorin, banyakkan air mineral
  • Jangan makan kentang, bawang yang bertunas, kerana tempat yang berturas itu tinggi dengan karsinogen atau agen kanser
  • Makan makanan seperti spirulina
  • Kurangkan minuman bergula
  • Elak kudapan seperti keropok, kerepek, kuih manis, kek yang sarat lemak, gula dan garam
  • Jika makan di luar, makan makanan yang berkukus, sup, reneh, stew atau oven grill
Informasi-informasi yang diperolehi ini akan digunakan sebagai panduan kami anak beranak dan juga mak dalam menguruskan soal pemakanan ayah. Semoga ayah 'akur' dengan pantang larang yang perlu dipatuhi.

Sekian, dulu untuk kali ini. 

Assalamualaikum.....

Tuesday, February 22, 2011

~ Mak.... ~

Assalamualaikum..

Mak dan ayah akan pulang ke Jitra hujung minggu ini. Mendengarkan perkhabaran tersebut, hati saya tiba-tiba menjadi amat sayu. Semestinya mak dan ayah akan kembali semula ke KL bagi sesi rawatan kemoterapi ayah yang ke-2 pada 13 Mac 2011 nanti, tetapi entah mengapa, kepulangan mak dan ayah ke kampung kali ini amat menyentuh hati saya.

Saya sayangkan mak.. Suami sering mengatakan bahawa wajah saya amat mirip mak. "Kalau ma nak tahu rupa ma masa tua nanti, tengok ja muka mak, muka ma sama dengan muka mak..". Pastinya saya menjadi bangga bila suami mengatakan yang demikian, kerana bagi saya, maklah wanita paling cantik di dunia..

Mak.. chek sayang mak... sayang sangat2...

Nyawa saya..


"Ya Allah... Kau panjangkanlah usia mak dan ayah.. Sesungguhnya merekalah kekuatanku di dunia dan akhirat..Kasihanilah kami Ya Allah..."..

Setakat ini coretan saya. Agak syahdu saya di kala ini, tak mampu saya teruskan penulisan saya untuk malam ini...

Sekian..

Assalamualaikum..

Monday, February 21, 2011

~ Pemandangan Dari Bilik 3, Wad 3C, Institut Radiologi & Onkologi ~

Assalamualaikum...

Terdetik hati saya untuk berkongsi pemandangan yang cukup menawan dari wad ayah..

 Pemandangan di siang hari
Pemandangan di malam hari

Sekian untuk kali ini..

Assalamualaikum...

~ Sesi Rawatan Pertama Kemoterapi di HKL ~

Assalamualaikum....

Hari ini ayah menjalani rawatan kemoterapi untuk pertama kalinya. Ayah tiba di Institut Radiologi dan Onkologi tepat jam 9.00 pagi ditemani oleh abang dan Izza. Saya menguruskan daftar masuk ayah ke wad dan ayah ditempatkan di Bilik 3, Wad 3C, Blok Institut Radiologi dan Onkologi.

Bilik 3, Wad 3C
Ayah di bawah tanggungjawab Dr Zabedah Othman
Pemeriksaan tekanan darah ayah

Ayah diberikan air melalui drip bagi menyediakan badan sebelum kemoterapi dijalankan. Beberapa ubat seperti ubat tahan muntah dan ubat gastrik turut dimasukkan ke dalam drip ayah, juga sebagai persediaan kepada badan ayah untuk menangani krisis selepas suntikan kemoterapi.



Selepas setengah jam, tepat jam 1.20 tengahari, rawatan kemoterapi dijalankan. Syukur Alhamdulillah, ayah tidur dengan nyenyak sekali sepanjang prosedur dijalankan.


Selepas kemoterapi dijalankan, lebih banyak air dimasukkan ke dalam badan, bertujuan untuk membenarkan larutan kemoterapi berjalan ke seluruh badan. Ayah begitu nyenyak tidur dan hanya terjaga lewat jam 5.30 petang. Lega rasanya melihat ayah dalam keadaan stabil dan saya amat gembira apabila badan ayah dapat menerima rawatan yang diberikan dengan baik sekali. Berkali-kali juga mak menelefon saya sepanjang hari, bertanyakan perkhabaran kesihatan ayah... Sungguh, saya amat sayangkan ayah dan mak....

Pesakit dengan Nurse 1
Pesakit dengan Nurse 2

Setakat ini buat kali ini.

Semoga rawatan ayah dapat menyembuhkan penyakit ayah, paling tidakpun, mengurangkan kesakitan yang dideritai ayah.. 

Sekian.

Assalamualaikum...

Sunday, February 20, 2011

~ Pengalaman di HKL, IJN & Pusat Perubatan Sentosa ~

Assalamualaikum...

Siri perawatan penyakit kanser paru-paru ayah membenarkan saya melalui pengalaman pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu pada 5 Januari 2011. Bermula dari tempat yang paling saya "geruni" sebelum ini iaitu Jabatan Kecemasan dan Trauma, ke tempat kedua paling saya geruni iaitu wad kelas 3 di HKL. Wad kelas 3 menyaksikan begitu ramai pesakit dengan pelbagai jenis penyakit dan kecederaan, satu pengalaman yang cukup-cukup menginsafkan saya.

Ayah beruntung kerana abang saya merupakan kakitangan kerajaan yang melayakkan ayah untuk  ditukarkan ke wad kelas pertama. Dari Wad 26 (wad kelas 3), ayah dipindahkan ke Bilik 7, Wad 28 (wad kelas pertama), di mana Dr Shaiful Azam merupakan pakar perubatan yang bertanggungjawab menjaga kes ayah. Biopsi perlu dijalankan segera bagi mengenalpasti rawatan yang boleh dijalankan ke atas ayah.

 Ayah di Bilik 7, Wad 28, HKL
Pemandangan dari bilik ayah

Setelah 8 hari di HKL (dari 5 hingga 13 Januari 2011), ayah dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) di bawah tanggungjawab Dato Dr Izani dan Dr Shahrul Akmal Saat, pakar kardiotorasik IJN. Ini adalah kerana kawasan kanser di paru-paru kiri ayah amat berdekatan dengan kawasan jantung, dan ini menyukarkan pakar HKL untuk menjalankan biopsi. 

 Ayah di "hotel" IJN, Bilik 4, Wad Kenanga
Menonton TV menjadi aktiviti utama di IJN..

Setelah beberapa sesi perbincangan dengan pakar kardiotorasik IJN, kami diberi pilihan samaada ayah menjalani pembedahan bagi mengambil tisu kanser atau menjalani CT guided biopsy. Semestinya CT guided biopsy merupakan pilihan terbaik, tambahan pula ianya akan dijalankan oleh seorang pakar yang terkemuka iaitu Dato Dr Abd Samad Sakijan. Walaubagaimanapun, memandangkan IJN kekurangan peralatan, Dato Dr Abd Samad mencadangkan prosedur ini dijalankan di Pusat Perubatan Sentosa. 

Pada 17 Januari 2011, ayah, saya dan Izza, anak saudara saya yang amat mengambil berat kesihatan ayah, berpeluang untuk julung-julung kalinya menaiki ambulan, dari IJN ke Pusat Perubatan Sentosa. 

 Di dalam ambulan.. Kualiti gambar kurang baik kerana ambulan dipandu sangat laju..

Prosedur CT guided biopsy berlangsung dalam tempoh masa 45 minit, ayah dalam keadaan sedar tatkala itu. Saya dan Izza tidak putus-putus berdoa agar ayah selamat dan tidak mengalami sebarang komplikasi akibat prosedur tersebut. Sempat juga bergambar kenang-kenangan di situ..


Alhamdulillah.. segalanya berjalan dengan lancar. Hasil laporan biopsi membolehkan ayah dirujuk ke Institut Radiologi dan Onkologi HKL... 

Esok ayah akan mendaftar masuk ke wad untuk menjalani rawatan kemoterapi, selepas selesai 1 sesi radioterapi pada 16 Februari 2011 yang lalu. Hanya Allah yang Maha Mengetahui gelodak di hati saya.. Saya yakin perasaan yang sama turut dirasai oleh adik beradik saya yang lain, begitu juga dengan cucu-cucu ayah. 

Setakat ini untuk kali ini, semoga doa saya malam ini dimakbulkan Allah.. 

Assalamualaikum....

Thursday, February 17, 2011

~ Syukur Alhamdulillah ~

Assalamualaikum...

Syukur Alhamdulillah.. sesi radioterapi ayah yang dijalankan pada Rabu (16 Februari 2011) berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Ayah nampak sangat bersemangat dan ceria sepanjang berada di Bahagian Perkhidmatan Radioterapi, Institut Radiologi dan Onkologi, HKL. Saya bersama Along menemani ayah sepanjang menjalani rawatan. Rawatan yang hanya berlangsung tidak lebih 10 minit itu bertujuan untuk mengawal sel kanser yang telah menjangkiti tulang rusuk ke-4 paru-paru kanan ayah.

Ayah menjalani solat Zohor di ruangan menunggu

 Ayah dan Along, cucu pertama dan "kesayangan" ayah

 Proses melakar kawasan yang akan dilakukan radioterapi

 Bilik rawatan radioterapi dan juga CT simulasi
Mesin CT simulation yang digunakan dalam pengenalpastian kawasan paru-paru kanan ayah yang akan dilakukan radioterapi 

Sehari selepas rawatan dijalankan, mak memaklumkan bahawa ayah benar-benar keletihan, asyik tidur sepanjang hari. Syukur Alhamdulillah, hanya itu kesan ketara akibat rawatan tersebut, di samping kulit ayah yang agak kemerah-merahan di dada kanan. Doktor telah memaklumkan terlebih dahulu bahawa antara kesan rawatan radioterapi adalah pening, muntah, keletihan melampau, kulit menjadi kemerahan-merahan dan kehilangan selera makan.

Selepas sesi radioterapi selesai, kami diberitahu untuk berjumpa dengan Dr Zabedah Othman, Pakar Onkologi HKL yang bertanggungjawab atas perancangan rawatan kanser ayah. Dr Zabedah, seorang insan yang amat merendah diri, sangat bijak menangani pesakit dan amat mengambil berat kebajikan pesakitnya. Saya berdoa kepada Allah agar dikurniakan kebahagian dan keberkatan di dunia dan akhirat kepada seorang insan mulia yang berhati tulus ini...

Dr Zabedah memaklumkan perancangan rawatan ayah yang seterusnya, di mana ayah akan menjalani kemoterapi pada Isnin akan datang iaitu pada 21 Februari 2011. Beliau juga menasihati agar ayah mendaftar masuk ke wad bagi memudahkan proses rawatan dibuat. Ayah, dengan pujukan saya, bersetuju untuk mendaftar masuk ke wad untuk menjalani rawatan kemoterapi di sana. Di sana, kesan kemoterapi ke atas ayah akan lebih mudah dipantau oleh pihak hospital.

Syukur Alhamdulillah sekali lagi... Allah amat memudahkan perjalanan kami dalam urusan perawatan penyakit ayah.. Mungkin atas usaha semua anak-anak yang tidak putus-putus berdoa kepada Allah untuk memudahkan perjalanan hidup ayah dan mak di dunia dan akhirat.. Semoga Allah terus memberkati kami yang amat mendambakan pertolonganNya...

Sekian, dulu untuk kali ini.. Akan dicoretkan lagi lakaran kehidupan yang boleh dijadikan iktibar bersama.
 Ayah Tersayang

Juga Mak Tersayang