Sunday, February 20, 2011

~ Pengalaman di HKL, IJN & Pusat Perubatan Sentosa ~

Assalamualaikum...

Siri perawatan penyakit kanser paru-paru ayah membenarkan saya melalui pengalaman pertama di Hospital Kuala Lumpur (HKL) iaitu pada 5 Januari 2011. Bermula dari tempat yang paling saya "geruni" sebelum ini iaitu Jabatan Kecemasan dan Trauma, ke tempat kedua paling saya geruni iaitu wad kelas 3 di HKL. Wad kelas 3 menyaksikan begitu ramai pesakit dengan pelbagai jenis penyakit dan kecederaan, satu pengalaman yang cukup-cukup menginsafkan saya.

Ayah beruntung kerana abang saya merupakan kakitangan kerajaan yang melayakkan ayah untuk  ditukarkan ke wad kelas pertama. Dari Wad 26 (wad kelas 3), ayah dipindahkan ke Bilik 7, Wad 28 (wad kelas pertama), di mana Dr Shaiful Azam merupakan pakar perubatan yang bertanggungjawab menjaga kes ayah. Biopsi perlu dijalankan segera bagi mengenalpasti rawatan yang boleh dijalankan ke atas ayah.

 Ayah di Bilik 7, Wad 28, HKL
Pemandangan dari bilik ayah

Setelah 8 hari di HKL (dari 5 hingga 13 Januari 2011), ayah dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) di bawah tanggungjawab Dato Dr Izani dan Dr Shahrul Akmal Saat, pakar kardiotorasik IJN. Ini adalah kerana kawasan kanser di paru-paru kiri ayah amat berdekatan dengan kawasan jantung, dan ini menyukarkan pakar HKL untuk menjalankan biopsi. 

 Ayah di "hotel" IJN, Bilik 4, Wad Kenanga
Menonton TV menjadi aktiviti utama di IJN..

Setelah beberapa sesi perbincangan dengan pakar kardiotorasik IJN, kami diberi pilihan samaada ayah menjalani pembedahan bagi mengambil tisu kanser atau menjalani CT guided biopsy. Semestinya CT guided biopsy merupakan pilihan terbaik, tambahan pula ianya akan dijalankan oleh seorang pakar yang terkemuka iaitu Dato Dr Abd Samad Sakijan. Walaubagaimanapun, memandangkan IJN kekurangan peralatan, Dato Dr Abd Samad mencadangkan prosedur ini dijalankan di Pusat Perubatan Sentosa. 

Pada 17 Januari 2011, ayah, saya dan Izza, anak saudara saya yang amat mengambil berat kesihatan ayah, berpeluang untuk julung-julung kalinya menaiki ambulan, dari IJN ke Pusat Perubatan Sentosa. 

 Di dalam ambulan.. Kualiti gambar kurang baik kerana ambulan dipandu sangat laju..

Prosedur CT guided biopsy berlangsung dalam tempoh masa 45 minit, ayah dalam keadaan sedar tatkala itu. Saya dan Izza tidak putus-putus berdoa agar ayah selamat dan tidak mengalami sebarang komplikasi akibat prosedur tersebut. Sempat juga bergambar kenang-kenangan di situ..


Alhamdulillah.. segalanya berjalan dengan lancar. Hasil laporan biopsi membolehkan ayah dirujuk ke Institut Radiologi dan Onkologi HKL... 

Esok ayah akan mendaftar masuk ke wad untuk menjalani rawatan kemoterapi, selepas selesai 1 sesi radioterapi pada 16 Februari 2011 yang lalu. Hanya Allah yang Maha Mengetahui gelodak di hati saya.. Saya yakin perasaan yang sama turut dirasai oleh adik beradik saya yang lain, begitu juga dengan cucu-cucu ayah. 

Setakat ini untuk kali ini, semoga doa saya malam ini dimakbulkan Allah.. 

Assalamualaikum....

No comments:

Post a Comment